Thursday, March 20, 2014

Keluarga penumpang MH370 gemparkan sidang media - 19 Mac 2014

Keluarga Penumpang Warga China Mengamuk Di Bilik Sidang Media (19 mac 2014)

Bilik sidang akhbar hari ini (5.30 petang) digemparkan dengan kehadiran keluarga penumpang dari China yang bertutur bahasa Cina dalam keadaan emosi di Hotel Sama-Sama. Mereka yang tiba kira-kira pada pukul 4.45 petang itu membuka sepanduk bertulisan bahasa Cina sambil menangis meraung-raung juga dalam bahasa Cina. Kehadiran mereka mencuri tumpuan media asing dan tempatan yang telah bersedia untuk menunggu sidang akhbar oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dijadual pada pukul 5.30 petang. Menurut wartawan dari China, kumpulan tersebut kesal dengan tindakan kerajaan Malaysia yang lambat mendedahkan maklumat berkaitan MH370, yang hilang sejak 8 Mac lalu.
keluarga mengamuk


Sumber: www.melvister.com 


Hmm...wajarkah keluarga penumpang pesawat MH370 ini berbuat begini? Kita memahami kesedihan mereka. Walaupun 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'...Tetapi, dengan berbuat demikian mereka bukan membantu proses mencari & menyelamat tetapi menghuru-harakan lagi keadaan..Bagi saya, lebih baik mereka bersabar dan tunggu berita daripada pihak berwajib. 

Ibubapa, sila ambil perhatian!

“Adam, jangan kutip mainan. Kotor!”
“Adam, jangan panjat, nanti jatuh!”
“Biar Mama dukung saja. Kotor nak merangkak kat situ.”
                   
Berikut antara dialog yang sering diucapkan oleh sesetengah ibu terhadap bayi kecilnya yang semakin lasak dan aktif.  Melihat caranya melayan bayi, kita boleh membuat kesimpulan si ibu terlalu melindungi anaknya.

Memang benar, sebagai ibu kita mahu memberikan yang terbaik kepada anak dan mahu melindungi mereka daripada ancaman bahaya tetapi kadang kala tanpa disedari, kita juga menjadi penghalang terbesar kepada perkembangan positif anak.

Secara semula jadi, bayi kecil akan mula meneroka dunia sekelilingnya dalam proses tumbesaran yang aktif. Mereka belajar daripada persekitaran. Ia membantu perkembangan positif anak menjadi lebih mahir dan cekap mencapai perkembangan kemahiran motor mereka seperti meniarap, merangkak, duduk, berdiri dan berjalan.

Pelbagai halangan dan perlindungan yang keterlaluan hanya akan menyekat keinginan semula jadi anak untuk meneroka dan belajar. Tanpa disedari, kita sendiri yang menghalang proses pertumbangan anak bahkan mengganggunya membesar sebagai anak yang kreatif dan inovatif kelak.

Terlalu melindungi

Sikap tidak mahu anak terdedah kepada bahaya memang sikap pelindung ibu dan ayah. Namun jika kita keterlaluan tidak mahu anak berada dalam keadaan berisiko, anda sebenarnya telah menanamkan perasaan rendah diri, penakut dan sombong dalam diri anak anda sejak dia kecil lagi.

Cepat beri bantuan

Jika anak anda sedang dalam proses belajar kemahiran motor seperti duduk, berdiri atau berjalan. Biarkan sesekali dia melakukan kesilapan dan merasakan kesakitan. Jangan terlalu cepat memberikan bantuan. Ia hanya akan membuatkan anak anda mudah lemah semangat dan cepat berputus asa kerana tahu ibu ayah akan datang membantu.

Cair dengan anak

Kadang kala sikap kita sebagai ibu bapa terlalu mudah ‘cair’ dengan anak-anak. Biarpun mereka melakukan kesilapan, dengan membuat mimik muka comel, ia sudah cukup membuatkan kita mudah memaafkan kesilapan mereka. Seharusnya kita tegas dengan pendirian kita sebagai ibu bapa. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya.

Cakap tidak serupa bikin

Walaupun anak anda masih usia bayi tetapi mereka memerhatikan tingkah laku anda. Oleh itu pastikan anda memberikan mereka contoh yang baik dalam urusan mendidik mereka. Jangan terkejut jika satu hari nanti anak anda meniru perbuatan buruk anda. Misalnya bercakap kasar atau suka menjerit. TIdak mustahil si kecil juga akan pandai menjerit dan bercakap kasar bila tiba saatnya nanti.

Sumber: pa&ma


Tips pemakanan si manja

Masuk sahaja usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula diperkenalkan kepada makanan pejal. Sedikit demi sedikit mereka belajar mengenali makanan yang pelbagai jenis dan rasa. Supaya anak terus mendapat makanan yang berkhasiat dan berguna untuk tumbesarannya, ada beberapa tip yang boleh dikongsi bersama. 
Setelah semakin membesar, tabiat pemakanan anak anda akan mula berubah. Begitu juga dengan keperluan pemakanannya. Tahun-tahun awal ini adalah waktu pesat untuk perkembangan fizikal dan mentalnya. Ini jugalah masanya tubuh memerlukan lebih nutrien untuk memastikan tumbesaran berjalan lancar. Ketika ini peranan ibu bapa sangat penting. Mereka perlu memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut anak benar-benar berkhasiat.
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
Tip 1: Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh untuk kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu membina dan memperbaiki tisu badannya yang rosak. Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien (Recommended Nutrient Intake -RNI) untuk rakyat Malaysia, kanak-kanak yang berusia di antara satu hingga tiga tahun memerlukan sebanyak 14gm protein setiap hari manakala kanak-kanak yang berusia di antara empat hingga enam tahun memerlukan sebanyak 23gm protein setiap hari. Oleh yang demikian, pastikan anak anda mendapat protein yang secukupnya.
Tip 2: Pastikan anak cukup zat besi
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, zat besi penting untuk penghasilan hemoglobin iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. Untuk pengetahuan, jumlah darah meningkat sejajar dengan peningkatan pertumbuhan anak. Oleh sebab itulah kanak-kanak perlukan zat besi yang secukupnya.  Zat besi boleh diperoleh daripada daging merah, hasil tenusu, makanan laut, legum dan sayur-sayuran hijau seperti brokoli. Ketahuilah bahawa vitamin C yang ada dalam buah-buahan sitrus boleh untuk membantu menyerap zat besi dari sumber bukan daging.
Tip 3: Hadkan pengambilan gula
Gula merupakan karbohidrat ringkas dan boleh didapati dalam buah-buahan, makanan pencuci mulut dan minuman berperisa. Seperti yang diketahui ramai, gula membekalkan tenaga tetapi kurang kandungan nutriennya. Jadi, pastikan anak anda tidak terlebih mengambil gula. Selain itu, elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat dan galakkan anak minum banyak air kosong.
Anda juga perlu mengehadkan pengambilan snek yang manis oleh anak. Sebaliknya, galakkan mereka makan makanan yang kaya nutrien dan tenaga. Antara makanan yang disarankan ialah seperti buah-buahan kerana buah-buahan bukan hanya mengandungi gula tetapi juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin. Selain buah-buahan, karbohidrat kompleks pun bagus untuk anak anda kerana berkanji dan berserat. Beri anak anda banyak karbohidrat kompleks seperti nasi, mi, oat atau bijirin. 
Tip 4: Jangan gunakan garam
Banyak makanan yang siap yang ada di pasaran bukan dibuat untuk kanak-kanak dan selalunya mengandungi terlalu banyak garam. Jadi, elakkan membeli makanan siap untuk anak. Sebaiknya sediakan sendiri makanan untuk anak. Akan tetapi ketika menyediakan makanan untuk anak, kurangkan penggunaan garam dan kalau boleh jangan masukkan garam ke dalam makanan mereka terutamanya bagi makanan bayi.
Tip 5: Pengambilan lemak baik
Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Tidak kira sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak, masing-masing perlukan lemak untuk kegunaan tubuh. Lemak mengandungi asid lemak yang penting dan sesetengah jenis mikro nutrien yang sangat diperlukan untuk pembentukan otak dan menjalankan fungsinya dengan sebaiknya. Akan tetapi, walaupun lemak baik, anda masih perlu mengawal pengambilan lemak oleh anak. Terlalu banyak makanan berlemak boleh memudaratkan. Oleh itu, pastikan makanan yang diambil anak perlulah seimbang.
Ketika menyediakan makanan untuk anak, pilihlah bahan mentah yang rendah lemak tepunya, rendah asid lemak dan rendah kolesterol. Walau bagaimanapun, elakkan memberi anak makan makanan rendah lemak yang diformulasikan untuk orang dewasa. Sebaliknya, pilihlah makanan yang mengandungi lemak daripada sayur-sayuran dan ikan kerana bahan-bahan tersebut kaya dengan Omega 3 dan Omega 6. Omega 3 boleh didapati daripada telur, ikan laut dalam seperti salmon, ikan bilis dan tuna.
Tip 6: Tetapkan waktu makan
Ajarkanlah tabiat pemakanan sihat kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ini termasuklah bila waktunya mereka perlu makan dan bukan hanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka makan. Kanak-kanak disarankan mengambil 3 hidangan utama dan  2 hingga 3 hidangan snek sehari. Hal ini membantu mengelakkan pengambilan makanan ringan yang tidak terkawal dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko obesiti.
Ibu bapa disyorkan agar sentiasa membekalkan anak dengan snek yang berkhasiat seperti buah-buahan, makanan tinggi serat dan bijirin agar mereka dapat makan ketika lapar. Karbohidrat lengkap yang ada dalam bijirin, makanan kaya serat dan buah-buahan mampu membuatkan perut anak anda kenyang sementara menunggu waktu makan utamanya. Serat yang ada dalam buah-buahan dan bijirin baik untuk sistem penghadaman kanak-kanak dan membuatkan dia rasa kenyang untuk satu jangka masa yang panjang.
Tip 7: Makan bersama keluarga
Makan bersama keluarga adalah amalan yang baik dan perlu diamalkan oleh setiap keluarga yang ada di dunia ini. Inilah masanya untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga. Jadi, sediakanlah hidangan yang istimewa dan pastinya makanan tersebut kaya dengan khasiat. Inilah juga masanya untuk ibu bapa mengajar anak etika di meja makan dan tabiat pemakanan yang baik.

Sumber : pa & ma